A review by mermaird
SUMPAH by Shaz Johar

4.0

Sumpah menceritakan kisah tentang Lela, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang terpaksa berkahwin dengan seorang lelaki tua atas desakan hidup. Lelaki tersebut boleh dikatakan sama umur dengan ayahnya sendiri yang telah meninggal dunia. Tidak lama setelah dipaksa menjadi isteri orang pada umur yang sangat muda, Lela dipaksa berpindah dengan suaminya ke sebuah banglo mewah, dan di situ kehidupannya semakin buruk dihantui dengan pelbagai masalah dan misteri.

Pada asalnya, aku teragak-agak untuk membaca Sumpah ini selepas melihat sinopsisnya, kerana aku cukup tidak suka dengan subjek child marriage. Tetapi pada masa yang sama, aku juga tertanya-tanya kenapa ibu watak utama sendiri sanggup mengahwinkan anaknya dengan lelaki tua tu, dan aku juga tertarik dengan wanita tua dan makhluk misteri yang akan menghantui watak utama tersebut. Sepanjang aku baca Sumpah, hati aku memang panas membuak-buak dengan manusia yang membenarkan Lela dikahwinkan dengan lelaki yang jauh sangat tua daripadanya, dengan alasan jika Lela tak berbuat demikian, keluarga mereka tidak akan mampu bertahan hidup tanpa sebarang harta.

Yang paling aku tak tahan, orang yang mengakui beragama tu sendiri yang mengatakan Lela patut dikahwinkan. Aku sebagai pembaca memang rasa nak menjerit je. "Orang-orang agama" seperti inilah yang merosakkan nama baik Islam tu sendiri sebab suka nak guna agama untuk justify kehendak nafsu masing-masing. Sepatutnya, sebagai anak yatim, Lela patut dibantu oleh orang kampung dari segi sumbangan, bukannya menyerahkan seluruh hidup dia pada orang tua yang mengambil kesempatan keatasnya. Tetapi itulah realiti sedih bagi banyak kanak-kanak perempuan sehingga ke hari ini, mereka yang masih muda dan naif tidak mampu hendak melakukan apa-apa untuk selamatkan diri mereka, termasuklah Lela Palatute sendiri.

Dari segi plot, aku memuji cara penceritaan penulis. Aliran cerita senang untuk dibaca dan mudah difahami, serta penulis juga berjaya masukkan beberapa babak yang aku rasa agak menghiburkan yang membuatkan Sumpah tidak terlalu serius dan bosan untuk dibaca. Aku seorang saja ke yang tergelak bila penulis masukkan "aura calon ke 19", barangkali untuk menyindir orang yang asalnya menggunakan ayat tersebut?